meRASA Allah dekat, Umum

Peringatan Persediaan Diri Akhir Zaman – Syahadah

bicara RASA kasihnya

Ya Salam Ya Allah

Masa sudah semakin suntuk. Hari ke hari kita semakin dikejutkan dengan pelbagai berita tragis. Berita-berita yang membuatkan kita semakin rasa risau. Risau dengan keadaan semasa, risau dengan pelbagai bencana alam, risau dengan kerakusan mereka yang mentadbir dunia, risau dengan pelbagai cerita jenayah, akhlak dan pelbagai lagi.

Kita hanya membaca, mendengar, kadangkala mengecam. Namun jauh di sudut hati, kita juga seakan merintih, memberontak, memendam. Mencari pedoman, berharap ALLAH menunjuk jalan. Dalam diri seolah-olah bertanya kepada ALLAH. Mengapa ini semua terjadi? Lalu diri juga yang berfikir memberi jawapan, dunia sudah akhir zaman.

banjir besar bencana alam

Lalu sedar tak sedar, ada yang cuba memperbaiki diri, mencari arah menuju Ilahi. Berusaha membuat segala kebaikan, menambah amal ibadat. Namun di sebalik kebaikan, amal yang dilakukan, ada satu rasa kehilangan, seolah-olah amal yang dilakukan terasa kosong. Terasa belum sepenuhnya, memuaskan hati. “Ya ALLAH, sebenarnya apa yang tak ditemui?, Aku dah doa, tapi…”, jauh, detik hati merintih sendiri.

Apa sebenarnya yang diri cari? Mengapa semua ini terjadi? ALLAH yang hakikatnya dekat, diRASA jauh. Mengapa? Apa teguranNya untuk kita di saat ini?

Firman ALLAH, Al baqarah ayat 186, “Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)”

Lihat ayat di atas, lalu bertanya lah pada diri. Adakah aku dapat merasa bahawa, ALLAH dekat? Jika tidak, bertanyalah, bagaimanakah mahu RASA sesungguhnya ALLAH sangat dekat? Sebenarnya, apabila ditafakur dengan akal yang sempurna, semua jawapan ada dalam ayat di atas. Penuhi perintahKu dan beriman kepadaKu.

Apakah perintahNya yang kita belum turuti? Solat, puasa, zakat, haji, baca Al Quran, bersedekah, semua telah dilakukan. Namun, mengapakah setelah berusaha melakukan segala kebaikan, masih tak dapat satu nikmat yang haq, yang hakiki, yang boleh digenggam, dalam diri, sehingga akhir hayat ini?

Seolah-olah, masih ada yang perlu dicari, untuk sebenar dinikmati, sebelum meninggalkan dunia ini.

burung terkurung dalam sangkar

Kita sedar dan tahu, kita berada di dunia akhir zaman. Namun masih tak tahu, apakah persediaan bagi diri, untuk menghadapi pergolakan besar, dunia tak lama lagi?

Setiap apa yang berlaku pada dunia hari ini, adalah teguranNya untuk kita bersedia dengan perkara yang lebih gerun lagi. Kedatangan Dajjal, yang kita tahu tahap ‘akal’, tetapi tiada persediaan bekal dalam diri.

Kita tahu sebelum dan saat Dajjal datang, akan berlakunya kemarau yang panjang. Yang menyebabkan musibah kelaparan. Sudah banyak, penceritaan, tanda-tanda, yang diwar-warkan, dalam media. Kita juga tahu hadis Nabi صلى الله عليه و سلم menjelaskan bahwa makanan kaum mukmin di masa itu nanti ialah makanan penghuni langit, yang bermaksud zikrullah.

kemarau panas kedatangan dajjal

Namun yang mahu digugahkan, bukan tentang fakta hadis, yang sekadar kita tahu pada tahap akal. Tetapi tentang persediaan diri kita, pengisian anak-anak kita, untuk menghadapi pada tahap amalan sehingga benar merasai kebenaran nikmat dzikrullah itu.

Jika amalan wajib dilakukan masih terasa kekosongan, maka bagaimana amalan sunnah dapat memelihara kita dari musibah Dajjal? Yang haq, yang benar, kita takkan rasa kosong, jika setiap masa dapat meRASA ALLAH sangat dekat.

Maka berbalik kepada ayat Al Baqarah 186, di atas.

“…Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)”

Dua (2) Kata kunci yang sangat penting, dalam merasai ALLAH sangat dekat.

  • Penuhi perintahKu dan
  • beriman kepadaKu.

pelajari amalan syahadah rukun islam pertama

Perintah yang kebanyakan muslim tak sedar lalu terabai. Sehingga beria-ia, berusaha melakukan amalan wajib bermula solat (rukun Islam kedua), hingga rukun kelima. Namun malangnya amalan masih terasa kosong. Merintih, terasa ALLAH sangat jauh. Lihat sahaja solat, adakah telah benar khusyuk?

Mengapa? Jawapannya kerana amalan rukun Islam kedua hingga kelima, yang kita lakukan bersandarkan jasad, tidak disertakan dengan amalan syahadah (rukun Islam pertama). Jadi bagaimana mahu menikmati manisnya Iman, meRASA yang ALLAH sangat dekat, jika tak tahu kefahaman 2 kalimah syahadah, “Aku BERSAKSI bahawa…”?

Amalan syahadah atau pun penyaksian (rukun Islam pertama) didakwahkan, diajarkan Rasulullah صلى الله عليه و سلم, selama 13 tahun sebelum turunnya perintah kewajipan solat.

Inilah jawapan bagi DUA(2) kata kunci di atas. MeRASA ALLAH dekat, apabila kita turuti perintahNya (pelajari Laailahaillallah, ilmu syahadah rukun Islam pertama) yang dengan mempelajari ilmuNya, membuatkan kita faham tentang beriman kepadaNya, sebenar-benar iman.

Buku kemanisan iman, pembukaan awal kefahaman bagi menggugah diri apa sebenarnya yang Rasulullah ﷺ dakwahkan selama 13 tahun sehingga membawa cahaya dan nikmat iman kepada para sahabat.
Buku yang membuka awal kefahaman bagi menggugah diri apakah sebenarnya yang Rasulullah ﷺ dakwahkan selama 13 tahun sehingga membawa cahaya iman dan nikmat manisnya iman kepada para sahabat.

Diperintahkan ALLAH dalam Surah Muhammad ayat 19, “Fa’lam annahu Laailahaillallah…”

ALLAH berfirman, “Oleh itu, maka PELAJARILAH, tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada ILAH (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)… ”

Fa’lam adalah kata perintah bermaksud pelajarilah. Bagaimana hendak menetapkan pengetahuan (ilmu), jika tidak mempelajarinya?

Masa sudah sangat suntuk. Kalau bukan untuk diri kita, tetapi persiapkan lah ‘bekalan’ anak-anak kita.

InsyaAllah kupasan demi kupasan, perkongsian demi perkongsian, akan dikongsi dalam artikel seterusnya. Hamba sang faqir, berkongsi akur menurut kehendakNya.

Buat yang membaca, terima kasih. Sudikanlah tinggalkan ‘jejak’ (komen), sebagai tanda, salam kasih dan perkenalan. Moga dengannya, berpaut hubungan atas dasar ilmu yang berharap rahmat, lingkungan kasihNya, Ar Rahman.

1 thought on “Peringatan Persediaan Diri Akhir Zaman – Syahadah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge